Tiada Puak, Semua Orang Parti – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pakatan Harapan(PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak sekeras-kerasnya kewujudan label ‘orang Saifuddin’ atau ‘orang Rafizi’ dalam parti, sebaliknya menegaskan bahawa semua pemimpin dan ahli adalah ‘orang parti’.

Beliau berkata, perkara itu telah ditegaskan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadi asas kepada semangat perpaduan yang perlu dipelihara dalam parti.

“Tiada istilah puak atau kem. Saya dan Rafizi telah lama dalam parti dan kami berikrar untuk terus bersama dalam barisan kepimpinan,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Menurut Saifuddin, kesetiaannya kepada PKR tidak wajar dipertikaikan memandangkan penglibatannya sejak penubuhan parti serta rekod perkhidmatannya yang panjang.

“Saya bersama rakan pengasas lain membina PKR dari awal tanpa sebarang sokongan atau pengaruh luar. Parti ini sebahagian daripada hidup saya,” ujarnya.

Mengulas isu ketidakpuasan hati dalam kalangan akar umbi berhubung keputusan pemilihan cabang, Saifuddin menasihatkan agar segala pandangan disalurkan melalui saluran rasmi.

“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan bermesyuarat esok. Itulah platform terbaik untuk menyuarakan sebarang pandangan secara tertib dan demokratik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa kekalahan beberapa tokoh besar dalam pemilihan tidak akan menyebabkan mereka dipinggirkan.

“Dalam parti ini, siapa yang terus berkhidmat dan setia, tetap ada tempat. Saya sendiri lebih banyak kalah daripada menang, tapi saya masih di sini,” tambahnya.

Saifuddin menyeru semua ahli untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi, demi kelangsungan perjuangan dan perpaduan dalam PKR.

Anda Mungkin Berminat