PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin, diarahkan membayar RM100,000 kepada PKR selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan beliau melanggar syarat bon parti, namun mengurangkan jumlah asal tuntutan dari RM10 juta.
Keputusan itu sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi mengenai konsep kesetiaan dalam politik.
Zuraida, yang sebelum ini mencabar bon RM10 juta sebagai tidak munasabah, menyatakan bahawa jumlah RM100,000 yang perlu dibayar adalah simbolik.
“Kalau ikut hati saya, saya tak mahu bayar walau RM1 pun. Tetapi mereka kutip derma, jadi kita bagilah mereka,” ujarnya sinis selepas prosiding pada Rabu, lapor Harian Metro.
Beliau turut memberi bayangan untuk membayar dalam bentuk wang syiling RM1.
Kes ini bermula apabila Zuraida didapati melanggar syarat bon yang ditandatanganinya pada 2018.
Bon tersebut menetapkan pembayaran RM10 juta kepada parti sekiranya beliau keluar dari PKR, menyertai parti lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada Februari 2020, Zuraida meninggalkan PKR dan menyertai Perikatan Nasional, sekali gus mencetuskan tuntutan ini.
Mahkamah Rayuan, melalui panel tiga hakim, mendapati pampasan RM10 juta adalah tidak munasabah.
Ketua pasukan pembelaan Zuraida, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata jumlah yang munasabah adalah berdasarkan perbelanjaan ketika pilihan raya, iaitu RM200,000 untuk satu kawasan Parlimen.
“Dalam kes Zuraida, tempoh beliau sebagai wakil rakyat PKR diambil kira untuk menentukan jumlah tersebut,” katanya.
Zuraida turut menegaskan bahawa kesetiaan tidak seharusnya diikat melalui bon kewangan.
“Kesetiaan bukan terletak kepada parti, tapi kepada perjuangan,” katanya, sambil menambah keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak yang cuba mengikat kesetiaan ahli melalui cara tersebut.
Buat masa ini, pihak PKR belum mengesahkan sama ada akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Namun, kes ini membuka persoalan besar mengenai penggunaan bon politik dalam memastikan kesetiaan ahli parti.
Baca juga: