Batu Puteh: Tun M hanya maklum, tidak bincang dalam kabinet

PETALING JAYA: Tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa keputusan untuk menggugurkan rayuan berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh pada 2018 dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad secara bersendirian tanpa mendapat persetujuan kabinet.

Dalam kenyataan bersama, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa Mahathir memutuskan perkara tersebut sebelum mesyuarat kabinet pertama kerajaan PH berlangsung.

Ketiga-tiga mereka merupakan anggota kabinet pada masa itu, masing-masing sebagai timbalan perdana menteri, menteri pertahanan dan menteri pengangkutan.

Menurut mereka, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran terhadap pertikaian Pulau Batu Puteh itu telah dibuat oleh Mahathir pada 21 Mei 2018.

“Tun Dr Mahathir memaklumkan keputusan berkenaan secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kabinet, dan keputusan tersebut telah disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei sebelum mesyuarat kabinet pertama berlangsung,” kata mereka.

Mereka turut menyatakan bahawa Mahathir hanya memaklumkan keputusan itu kepada jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet pada 23 Mei 2018, dua hari selepas keputusan tersebut dibuat.

“Pemakluman itu dimasukkan di bawah agenda ‘Hal-hal lain’ dan tidak dibincangkan sebagai keputusan bersama,” tambah mereka lagi.

Kenyataan itu juga menekankan bahawa tiada ruang untuk anggota kabinet memberikan pendapat kerana keputusan telah dibuat terlebih dahulu.

“Tidak wujud isu bantahan atau sokongan kerana keputusan telah dimuktamadkan secara bersendirian oleh Tun Dr Mahathir,” kata mereka.

Mereka turut mengulas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan minggu lalu, yang mengesahkan Mahathir membuat keputusan tersebut tanpa pengetahuan kabinet.

Mereka berpendapat Mahathir, sebagai seorang negarawan, perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusannya itu.

“Kami yakin anggota jemaah menteri yang hadir dalam mesyuarat kabinet pertama pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini,” ujar mereka.

Anda Mungkin Berminat