Dua Pemancing Hilang Ditemui Selamat Di Pulau Pintu Gedong

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Dua lelaki tempatan yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Pintu Gedong, Pelabuhan Klang, ditemui selamat pada Selasa lalu.

Pengarah Maritim Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, Shahrul Hisham Mohd Tahir, 50, dan Micheal Januarius, 68, keluar memancing menaiki jet ski sebelum dilaporkan hilang.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan dan kedua-dua mereka dijumpai bersama jet ski yang terbalik hasil maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah.

“Susulan itu, Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 2 pagi, 18 Dis dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Royal Youth Club Selangor.

“Kedua-dua mereka dijumpai bersama jet ski terbalik pada kedudukan 19.8 batu nautika dari barat Pulau Pintu Gedong pada 3.45 petang hasil maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan tiba dengan selamat malam semalam.

Abdul Muhaimin berkata, mangsa memaklumkan jet ski yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin berikutan tali sauh tersangkut pada bahagian pendesak (impeller).

Susulan itu, APMM menasihati komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati di laut dan mengambil langkah-langkah keselamatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat