24 Laporan Penipuan Kim Seri, Kerugian Hampir RM500,000

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 24 laporan berhubung penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan oleh pempengaruh terkenal, Kim Seri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nilai kerugian dianggarkan hampir setengah juta ringgit.

“Setakat ini, JSJK PDRM telah menerima 24 laporan daripada mangsa yang terlibat, dengan nilai kerugian sebanyak RM454,450. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, kes penipuan tersebut tular di media sosial apabila Kim Seri atau Kimseri_Eina, 39, didakwa menipu pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Ramli berkata, sebahagian daripada kes turut dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran supaya siasatan sewajarnya dapat dijalankan.

Sebagai langkah pencegahan, menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk melayari portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di www.motac.gov.my/semakan/ bagi membuat semakan pendaftaran agensi pelancongan.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan penipuan oleh syarikat tidak berdaftar dan memastikan keselamatan pembelian pakej pelancongan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat