KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) perlu mengambil dasar sifar toleransi terhadap gangguan seksual di kampus.
Ketua Parlimen MUDA Cheras, Daniel Lim menggesa UM mengambil tindakan segera berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang profesor yang didakwa berkongsi gambar bogelnya dengan seorang pelajar.
Menurut Daniel, kejadian ini mencabar reputasi UM sebagai institusi pendidikan terkemuka dan membangkitkan persoalan tentang keselamatan serta perlindungan mahasiswa.
“Usaha perlu dilakukan untuk memastikan keadilan dilaksanakan dan mahasiswa dilindungi daripada menjadi mangsa dalam sistem yang sepatutnya menjaga mereka,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Sebelum ini, pihak universiti telah mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu telah dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Kejadian ini mencetuskan kebimbangan di kalangan mahasiswa, alumni, dan pelbagai pihak berkepentingan.
Statistik yang dikongsikan Alumni Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, mendapati seorang daripada lima pelajar UM mengaku pernah menjadi mangsa gangguan seksual semasa pengajian mereka.
Kelab Feminisme UM dan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya turut menyuarakan keprihatinan mereka dan menuntut agar pihak universiti bertindak lebih telus dan tegas dalam menangani isu gangguan seksual di kampus.
Kes ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kecekapan mekanisme aduan dan tindakan universiti dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Sebelum ini, universiti itu terkait dengan isu gangguan seksual melibatkan seorang pensyarah.
Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata semua prosedur serta peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya oleh UM.
Baca juga: