Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan tiga vesel nelayan asing (VNA) dari Indonesia di sekitar 24 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, Perak pada petang Ahad.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot berkenaan ditahan kerana dikesan telah menceroboh dan disyaki melakukan aktiviti perikanan di perairan negara.
Katanya, vesel terbabit dikesan oleh pasukan operasi KM MALAWALI yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Nashrun Abdul Ghani.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua warga Indonesia yang berasal dari Pantai Labu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan setiap vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga dalam lingkungan umur 24 hingga 55 tahun.
“Vesel tersebut juga tiada nombor pendaftaran. Kru dan vesel ditahan manakala hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan disita untuk tindakan lanjut pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohamada Shukri berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan di perairan negara tanpa permit yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah.
Maritim Malaysia menegaskan, isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara tidak sesekali diambil mudah demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.
Baca juga: