Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan prosiding bagi meneliti dan memanggil kesemua pihak yang terlibat dalam urusniaga Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) merupakan satu langkah tepat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, prosiding PAC berupaya untuk memperolehi keterangan dan maklumat terperinci daripada setiap individu terlibat dalam membuat keputusan berkaitan penjualan saham MAHB kepada pihak luar.
“MAHB adalah salah satu aset strategik negara yang utama dan amat penting untuk dikekalkan statusnya sebagai syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tata kelola yang baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Semalam, media melaporkan, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC akan menyiasat pengurusan lapangan terbang termasuk cadangan pengambilalihan MAHB.
Jelas beliau, PAC bercadang memulakan prosiding sebaik sahaja Dewan Rakyat bersidang semula pada awal Februari.
Keputusan untuk meneliti pengambilalihan itu susulan komen lima pengarah bebas MAHB bahawa tawaran RM11 sesaham kepada pengendali lapangan terbang itu tidak adil dan tidak wajar.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan, penawaran yang dibuat amat tidak adil dan tidak mencerminkan potensi serta jaringan besar 39 lapangan terbang di bawah MAHB.
“Kandungan Independent Advice Circular (IAC) bertarikh 20 Disember 2024 berkaitan penjualan saham MAHB mendedahkan semua lima orang Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tidak bersetuju dengan penjualan saham tersebut dan mereka mensyorkan kepada para pemegang saham menolak tawaran pembelian saham tersebut
“Berdasarkan rekod, bilangan penumpang yang dikendalikan oleh MAHB Group sehingga September 2024 telah mencecah 101.2 juta penumpang.
“Pendapatan MAHB Group juga meningkat 20.3 peratus kepada RM4.26 billion sehingga September 2024 berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2023.
“Keuntungan selepas cukai juga melonjak sebanyak 137 peratus kepada RM606.3 juta sehingga September 2024 berbanding September 2023,” katanya.
Malah, kata Hamzah, tawaran tersebut juga tidak mengiktiraf momentum pertumbuhan yang dibina MAHB melalui strategi dan hala tuju yang jelas.
“Ahli Parlimen Perikatan Nasional menentang keras penjualan saham MAHB supaya MAHB kekal sebagai sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik.
“Sebagai “angsa emas” dan juga salah satu aset strategik negara yang penting, MAHB mesti kekal menjadi milik rakyat Malaysia,” tambahnya.
Baca juga: