PONTIAN LAMA: Dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Jalan Pontian Lama, berhampiran bulatan Taman Desa Skudai, Johor, pada awal pagi Khamis.
Kejadian tersebut dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor pada pukul 12.11 pagi sebelum pasukan Bomba daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Skudai digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, PBK I KUP Suraini Adnan, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Waja berlanggar dengan sebuah lori muatan 10 tan.
“Akibat pelanggaran tersebut, seorang mangsa lelaki berusia 43 tahun disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kereta.
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 43 tahun turut disahkan meninggal dunia namun tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, pasukan bomba terdiri daripada tujuh anggota yang hadir bersama jentera CFRT dan kenderaan Unit EMRS telah menjalankan operasi penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang terlibat.
“Dua mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Seorang lagi mangsa, iaitu pemandu lori berusia 36 tahun, dilaporkan terselamat tanpa mengalami kecederaan serius dan turut diberikan rawatan oleh petugas perubatan,” katanya.
Tambah beliau, operasi menyelamat berakhir pada pukul 2.03 pagi.
Baca juga: