Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Allahyarham Datuk Dr Ahmad Shukri Mohamed bukan hanya seorang doktor pakar mata tetapi juga seorang insan penting dalam kisah hidup Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah mengenang keberanian Allahyarham yang merawat mata bapanya selepas beliau (Anwar) dianiaya dan dibantai dalam tahanan pada September 1998.
“Di tengah-tengah ketakutan dan tekanan hebat ketika itu, Dr Ahmad Shukri tampil berani untuk merawat Anwar Ibrahim.
“Sungguh, keberanian dan integriti almarhum pada waktu itu memberi harapan kepada kami sekeluarga di saat kegetiran yang kami hadapi.
“Semoga roh almarhum dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para solihin dan segala jasa almarhum dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT,” kata Nurul Izzah dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Malam tadi, Anwar memaklumkan Dr Ahmad Shukri yang merawatnya sewaktu dalam tahanan pada 1998 telah meninggal dunia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan berita berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi miliknya.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Menerima perkhabaran duka pemergian kenalan keluarga, Ahmad Shukri. Almarhum merupakan pakar mata yang memberi rawatan kepada saya tatkala dibantai di dalam tahanan polis pada 1998.
“Allahyarham juga antara yang tampil sebagai saksi memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menafikan tohmahan kononnya saya mencederakan diri sendiri.
“Jasa dan keikhlasan arwah akan sentiasa terpahat dalam ingatan. Mendoakan keluarganya diberi kekuatan serta semoga ALLAH mengampunkan dosa Almarhum. Insya-ALLAH, al-Fatihah,” katanya.
Baca juga: