Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Wisma Putra mengesahkan bahawa empat rakyat Malaysia mengalami kecederaan dalam kemalangan melibatkan sebuah bas pelancong berhampiran Tasik Asvatnet, Norway pada Khamis lalu.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini, keempat-empat individu terbabit mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.
“Laporan awal menunjukkan penumpang bas sebahagiannya tenggelam dalam tasik terdiri daripada pelancong asing dari China, Perancis dan Ukraine.
“Situasi kejadian bertambah buruk dengan cuaca yang kurang baik termasuk salji tebal serta angin kencang menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas,” jelasnya.
Media antarabangsa melaporkan, didapati tiga orang maut, manakala empat lagi cedera parah kini dirawat di Hospital Stokmarknes.
Walaubagaimanapun, pihak berkuasa Norway berjaya memindahkan semua penumpang yang terselamat meskipun menghadapi cabaran akibat cuaca buruk pada peringkat awal usaha menyelamat.
Sementara itu, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kemalangan tersebut kira-kira pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan pada Khamis.
Sebarang bantuan konsular yang diperlukan, Kedutaan Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di alamat Karlavagen 37, 114 31 Stockholm atau menerusi panggilan telefon di talian +4684408400 atau +46735369152.
Baca juga: