Mayat reput sah Yap Xin Yuan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Identiti mayat reput yang ditemui di Banting Sabtu lalu, sah milik remaja Yap Xin Yuan yang hilang sejak 19 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, ia disahkan menerusi Jabatan Kimia Malaysia yang menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa tengah hari tadi dan mayat berkenaan akan diserahkan kepada keluarga pada petang ini.

“Polis akan meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan membawa penjenayah yang terlibat ke muka pengadilan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ditalian 03-89114222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, polis Selangor telah menahan tiga lelaki termasuk teman lelaki remaja perempuan ini selepas penemuan mayat reput di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang.

Remaja perempuan ini dilapor hilang apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kehilangan Xin Yuan diterima di Balai Polis Batu 9, Cheras pada jam 2.15 pagi.

Kali terakhir dia dilihat di gelanggang bola keranjang di Batu 11, dengan berpakaian baju tarian singa berwarna merah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat