PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperkukuh penguatkuasaan dengan kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen melibatkan pekerja warga asing menerusi operasi khas ‘Ops Serkap’ pada 13 April 2026.
JIM dalam satu kenyataan berkata, operasi hasil risikan berterusan selama enam bulan itu melibatkan serbuan ke atas enam lokasi.
“Dalam serbuan tersebut, pasukan operasi menemui dokumen imigresen seperti e-pass dan pelekat keselamatan yang diubah suai untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Turut dirampas ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai RM3,950,” kata kenyataan itu.
JIM berkata, seramai sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan termasuk tiga lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga India, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki tempatan, serta seorang wanita warga Vietnam yang dipercayai pengarah syarikat.
Selain itu katanya, enam Saman kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Pada 14 April, sekitar pukul 12.30 tengah malam, pasukan khas berjaya menahan suspek utama di Jalan Galloway, Kuala Lumpur ketika cuba melarikan diri menaiki sebuah Nissan Sentra.
Suspek dikenal pasti sebagai Mahendra Jung Shah @ “MJ”, lelaki warga Nepal berusia 43 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi selama kira-kira tujuh tahun dengan keuntungan dianggarkan mencecah RM100 juta.
“Semakan lanjut bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang dijalankan bagi mengenal pasti struktur syarikat serta aliran kewangan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
JIM turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi melengkapkan siasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pihak terlibat.
JIM berkata, penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi membanteras pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Orang awam digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini.








