Pensyarah Rugi RM97,400 Akibat ‘Phone Scam’ Menyamar Pihak Berkuasa

KUANTAN: Seorang pensyarah di Kuantan menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ sehingga kerugian mencecah RM97,400 selepas terpedaya dengan helah suspek yang menyamar sebagai pegawai berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Ashari Abu Samah berkata, kejadian bermula pada 28 Mac lalu ketika mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa wakil syarikat insurans.

Panggilan itu kemudian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

“Mangsa diarahkan menyerahkan maklumat perbankan kononnya bagi tujuan siasatan.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati dua transaksi berjumlah RM97,400 dipindahkan ke akaun tidak dikenali antara 7 hingga 8 April lalu sebelum membuat laporan polis,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ashari, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan serta tidak berkongsi maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.

Anda Mungkin Berminat