Sebar Dakwaan Diesel Ke Filipina, MCMC Siasat Individu

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan dakwaan penghantaran kira-kira 329,000 tong diesel ke Filipina.

Dalam kenyataan pada Rabu, MCMC menjelaskan bahawa bahan api berkenaan sebenarnya dimiliki oleh syarikat perdagangan minyak, Vitol, dan bukan milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atau Kerajaan Malaysia.

Menurut MCMC, peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan.

“Setakat 14 April, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di platform media sosial dan digital, susulan konflik di Asia Barat. Kesemua kes kini dalam siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Antara maklumat tidak tepat yang dikesan tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api melebihi pengumuman sebenar, peningkatan tarif elektrik, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran, pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura serta isu penghantaran diesel ke Filipina yang didakwa milik Malaysia.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital untuk mengelirukan orang ramai dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat