PETALING JAYA: Isu buli di Malaysia bukanlah perkara baru dan wujud dalam pelbagai situasi seperti di sekolah, jalan raya, tempat kerja, alam maya dan terhadap golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU), pekerja asing dan penganut agama berbeza.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, masyarakat bersikap hipokrit dan ‘double standard’ (dua darjat) apabila melibatkan isu berkenaan
“Jika aku buat atau orang aku buat, ia OK dan halal. Jika orang lain buat atau buke sek kito (bukan saing kita) buat tak OK dan haram.
“Selagi sikap ‘Buat kepada orang lain sepertimana yang kamu suka diperbuat kepada kamu dan jauhi memperlakukan kepada orang lain apa yang kamu tidak suka diperlukan kepada dirimu…’ tidak menjadi prinsip dan sikap semua warga Malaysia… buli akan terus berlaku,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dalam pada itu, Maszlee turut memuji Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas inisiatif mereka menangani gejala buli.
Beliau mencadangkan penggunaan teknologi ‘Big Data’ dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti ‘hot spot’ (titik panas) dan tempat lazim berlakunya buli serta melakukan intervensi serta tindakan pencegahan secara mikro.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi untuk terlibat dalam memerangi budaya buli melalui program pendidikan dan kesedaran.
“Hentikan menunding jari, ayuh kita semua terlibat dalam memerangi budaya buli dalam masyarakat,” tambahnya.