Fadhli Shaari didesak beri penjelasan kiasan sinis

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencetuskan kontroversi dengan hantaran kata-kata kiasan membabitkan haiwan di laman Facebook.

Hantaran tersebut dibuat sejurus Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan pembatalan himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” tulis Ahmad Fadhli tanpa penjelasan lanjut.

Susulan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Ahmad Fadhli untuk menjelaskan maksud sebenar kiasan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa, perbuatan melontarkan sindiran bukan tindakan seorang lelaki sejati dan sanggup bertemu Ahmad Fadhli pada 6 Januari untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya minta Yang Berhormat (YB) untuk beritahu secara terus apa maksud kiasan YB ya. Kias-kias ini bukan anak jantan YB,” katanya.

Pada masa yang sama, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali turut mempersoalkan sindiran Ahmad Fadhli dan menggesa beliau menjelaskan individu atau pihak yang dimaksudkan.

“Fadhli perlu jelaskan siapakah yang beliau maksudkan ‘jantan berkokok nyaring’? Siapa pula ‘ayam betina’? Dan siapa pula ‘biawak’?

“… UMNO membatalkan hasrat berhimpun untuk solidariti Najib Razak selepas titah Agong. Jadi saya ingin tanya Fadhli, adakah ‘biawak’ yang Fadhli sebutkan merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong?” soalnya.

Pada Jumaat, Istana Negara mengingatkan bahawa kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Najib didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Anda Mungkin Berminat