Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyeru kepada rakan-rakan dalam Kerajaan MADANI khususnya Barisan Nasional (BN) untuk tidak terpedaya dengan sentimen politik yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi meminta semua pihak agar tidak membiarkan mainan sentimen seumpama itu yang boleh memecahbelahkan perpaduan yang dibina demi kesejahteraan negara.
“Perlu diingatkan, beberapa pemimpin PN sebelum ini, lantang menyuarakan isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), seperti Datuk Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal, kini mengambil pendekatan bertentangan. Ini menimbulkan persoalan tentang keikhlasan mereka dan motif di sebaliknya.
“Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak (bekas Perdana Menteri) mencabar Titah Adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah membuktikan kerajaan sentiasa telus dalam urusan undang-undang.
“Kerajaan MADANI menghormati keputusan mahkamah dibuat berdasarkan fakta dan bukti serta memastikan proses perundangan dijalankan dengan adil dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam Kerajaan MADANI sudah membuahkan pelbagai hasil, termasuk peningkatan pelaburan, inflasi terkawal dan pengiktirafan positif terhadap Malaysia di peringkat antarabangsa.
Justeru, beliau menasihatkan supaya semua komponen Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerjasama tanpa digugat permainan sentimen atau taktik politik, bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Semalam, Najib dilapor memperoleh kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam yang lain menjawab dan mengesahkan Titah Adendum berhubung penahannya di rumah.
Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini, mendakwa Titah Adendum itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Baca juga:
Baca juga: