Oleh: Hanim Nadia
GERIK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan membiayai yuran pengajian dan memberi bantuan komputer riba (laptop) kepada Intan Juliana yang menghadapi kesusahan bersama keluarganya dekat sini di Perak.
Khabar gembira itu dikongsikan sendiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya pada Isnin.
“Alhamdulillah, pagi ini saya menerima mesej daripada Timbalan Naib Canselor UMK menyatakan kesediaan pihak universiti membiayai yuran pengajian sehingga tamat pengajian adik Intan Juliana yang saya bantu keluarganya yang miskin untuk dapat tempat berteduh yang sempurna.
“UMK juga akan menyediakan ‘laptop’ buatnya. Terima kasih Prof Dr Mohammad Ismail TNC Hal Ehwal Pelajar UMK,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Asyraf yang juga Pengerusi MARA telah berkongsi video beliau melawat adik Intan yang tinggal bersama keluarganya di sebuah ruang kecil di kedai RNR Gerik untuk mereka berteduh.
Menurut Asyraf, gadis itu sendiri menghantar mesej kepada beliau pada hujung tahun lepas untuk mencari jalan penyelesaian membantu keluarganya.
“Sejak bulan November, mereka terpaksa tinggal di sebuah ruang kecil di kedai RNR Gerik, yang menjadi tempat berteduh buat mereka sekeluarga.
“Dalam mesej itu, adik Intan dengan penuh rasa harapan memberitahu bahawa mereka menghadapi pelbagai kesukaran, terutama mereka dua beradik yang sedang belajar. Ruang yang sempit dan keadaan tidak selesa menyukarkan mereka untuk mengulang kaji pelajaran. Lebih memilukan, mereka terpaksa bergantung kepada tandas awam untuk keperluan harian.
“Apa yang lebih menyentuh hati saya ialah keberanian adik Intan untuk menghubungi saya tanpa pengetahuan ibu bapanya. Dia berkata dia tidak mahu membebankan mereka, tetapi pada masa sama dia nekad mencari jalan untuk membantu keluarganya. Anak sekecil ini dengan berani meminta sedikit perhatian dan bantuan agar keluarganya dapat keluar dari situasi yang penuh dugaan ini,” tulis Asyraf.
Tambah Asyraf, kesusahan adik Intan itu telah dibawa perhatian kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hasil perkhabaran itu, Ahmad Zahid telah meluluskan permohonan dan lawatan tapak pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) akan diadakan dalam masa terdekat kepada keluarga adik Intan.
“Semoga usaha kecil ini mampu membawa sinar harapan dan perubahan besar kepada kehidupan keluarga Adik Intan. Saya percaya, setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang untuk hidup dalam keadaan yang lebih baik, terutama demi pendidikan dan masa depan mereka,” katanya.
Baca juga: