NUTP puji langkah proaktif MCMC

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memuji langkah proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam melaksanakan pelesenan media sosial yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon berkata, dengan pelesenan ini, mereka dibawah umur boleh dikawal daripada menggunakan aplikasi yang boleh membawa kemudaratan jika tiada kawalan orang dewasa.

“Tahniah kepada MCMC kerana mengambil langkah proaktif dan perlu dalam mengawal penyalahgunaan media sosial.

“Penyedia aplikasi akan mengawal penggunanya dengan melakukan pendaftaran sebelum dibenarkan menggunakan aplikasi tersebut.

“Kebiasaannya banyak pihak yang menyalahgunakan media sosial ini dengan membuli dan memulau dalam kelompok mereka,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Tambahnya lagi, gangguan tanpa had dalam media sosial ini menyebabkan mangsa yang terlibat sukar untuk melarikan diri atau mengelak.

Dalam perkembangan sama, Fouzi juga mencadangkan agar penjelasan dan khidmat nasihat perlu diberikan kepada semua guru agar tidak terperangkap dengan akta ini.

Selain itu, Fouzi menasihatkan kepada pendidik agar lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial kerana mungkin boleh memberi risiko kepada guru itu sendiri.

“Jangan memuat naik sebarang gambar murid secara sembarangan tanpa kebenaran penjaga serta berhati-hati dalam membuat ulasan dan komen dalam media sosial.

“Kandungan media yang melibatkan murid perlu mendapatkan keizinan penjaga kerana mungkin boleh menimbulkan risiko kepada murid itu sendiri.

“Guru juga tidak digalakkan membincangkan isu murid di dalam media sosial kerana mungkin ada penjaga yang kurang selesa isu anak mereka dibicarakan walaupun berkongsi markah ujian dalam media sosial kelas,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan telah mewajibkan platform media sosial dengan lebih daripada 8 juta pengguna di Malaysia untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Ia dikhususkan buat semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet manakala tarikh akhir permohonan lesen telah berlalu iaitu 31 Disember 2024, dengan penguatkuasaan bermula 1 Januari 2025.

Setakat ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan hanya WeChat, TikTok dan Telegram sudah mendapat lesen (untuk beroperasi di Malaysia) manakala META dalam proses dan dijangka akan mendapat lesen tersebut tidak lama lagi.

Menurut (MCMC), keputusan itu adalah selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa dua perkhidmatan itu mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

Ia adalah demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah MCMC, langkah terbaharu itu juga bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat dan pengalaman lebih baik untuk pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat