DAVOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada undang-undang lapuk untuk menangani cabaran baharu yang muncul terutama dalam menghadapi kemajuan pesat teknologi.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk memperkenalkan undang-undang terkini yang sejajar dengan perkembangan global.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam menghadapi cabaran ini.
“Kita ambil semua undang-undang terkini yang berkaitan di seluruh dunia dan menyesuaikannya dengan sewajarnya untuk meneruskan.
“Mujur kerajaan mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen. Itu sangat membantu,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata, sokongan majoriti dua pertiga di parlimen membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar yang jelas dan berkesan.
Dalam sesi taklimat media bertajuk ‘Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness’ di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, Anwar berkata, semua pemimpin ASEAN mesti merangka dasar yang betul untuk menghadapi kemajuan pesat teknologi baharu.
“Kerjasama itu bermaksud semua perlu merendah diri untuk mengakui bahawa ini adalah teknologi baharu yang mencabar.
“Kita tidak mempunyai semua jawapan, oleh itu kerjasama mesti bermula dengan semua pihak terlibat daripada pemain syarikat-syarikat besar dan juga negara,” katanya.
Anwar kini mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025.
Ini merupakan penyertaan pertamanya dalam WEF sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.
Sidang kemuncak itu bertemakan ‘Collaboration for the Intelligent Age’ dan akan membincangkan peranan teknologi baru muncul serta inovasi terkini dalam menangani isu ekonomi global.