KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menerima sepasang panda gergasi baharu daripada China untuk tempoh 10 tahun, sebagai simbol persahabatan erat antara kedua-dua negara.
Perkara itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian Perjanjian Baharu Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda, susulan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Perhililitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Malaysia, manakala pihak China diwakili Setiausaha Agung China Wildlife Conservation Association (CWCA), Yan Jian.
Pertukaran dokumen disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi Jinping.
Nik Nazmi berkata, kerjasama itu mencerminkan semangat diplomasi konservasi antara kedua-dua negara, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan usaha kelestarian bersama.
“Saya berharap ‘giant’ panda ini akan terus memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama saintifik dalam pemuliharaan spesies liar ikonik ini,” katanya.
Malaysia sebelum ini menerima sepasang panda gergasi pada 2012 dan berjaya melahirkan tiga ekor anak panda sepanjang tempoh 10 tahun.
Namun, ketiga-tiganya telah dihantar pulang ke China mengikut terma perjanjian.