KUALA LUMPUR: Malaysia dan Lao PDR menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan kemakmuran rantau ASEAN.
Dalam pertemuan rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Lao PDR, TYT Dr Sonexay Siphandone, kedua-dua pemimpin menzahirkan tekad memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, pertahanan, telekomunikasi serta keterhubungan serantau.
Anwar berkata, Malaysia menyokong penuh usaha memperkasa integrasi ekonomi dan logistik ASEAN termasuk melalui jaringan rel ASEAN Express yang bakal menghubungkan Malaysia, Thailand, Lao PDR dan China.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama tenaga serantau melalui inisiatif LTMS-PIP.
“Malaysia dan Lao PDR berkongsi tekad yang utuh untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ASEAN secara keseluruhannya.
“Dalam semangat Malaysia MADANI dan kebersamaan ASEAN, kita percaya bahawa pembangunan yang mampan, saling menghormati serta perkongsian kemakmuran merupakan wahana penting bagi menjamin kestabilan dan masa depan rantau ini,” katanya.








