Wilayah Terpencil Tidak Boleh Tercicir Daripada Arus Pembangunan – Anwar

CEBU: Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau melalui BIMP-EAGA sebagai wahana strategik yang bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan, malah memperluas jaringan perdagangan, pelaburan, keterhubungan digital serta keterjaminan makanan demi kemaslahatan rakyat di rantau ini.

Dalam Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Visi BIMP-EAGA 2035 mesti digerakkan dengan semangat kebersamaan, tatakelola yang mampan serta iltizam untuk memastikan wilayah-wilayah terpencil dan kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan.

“Tatkala dunia berhadapan cabaran krisis bekalan tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global, rantau ini harus tampil dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani,” kata Perdana Menteri.

Malaysia, katanya, mendukung pengukuhan keterhubungan tenaga rentas sempadan, pelaburan dalam tenaga boleh baharu serta penyelesaian lestari seperti solar dan mini-grid agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat termasuk komuniti di kawasan pedalaman.

“Visi 2035 bukan sekadar dokumen dasar tetapi cerminan tekad bersama untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan manusiawi.

“Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasa masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat