Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Sempena sambutan Israk Mikraj hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengingatkan umat Islam agar menghidupkan semangat perjuangan demi membela nasib rakyat Palestin.
Beliau berkata rakyat Palestin masih dijajah dan ditindas oleh penjajah sehingga ke hari ini.
Justeru, beliau sebagai seorang pemimpin, mengakui bahawa semua pihak wajar memainkan tanggungjawab secara konsisten dalam memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin.
“Keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah solat punya dampak yang besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat.
“Simbol kepimpinan Baginda Rasulullah SAW mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua menggambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah SAW.
“Pengalaman unik yang dialami oleh Baginda harus dibugar bagi memupuk semangat bekerja lebih kuat dan berdisiplin mencapai itqan fil amal serta teguh kepada pengabdian penuh kepada Allah SWT.
“Sehubungan İtu, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten kita dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.
Susulan penangguhan gencatan senjata dua minggu lalu, Aljazeera melaporkan seramai 22 orang terbunuh dan 124 lagi tercedera.
Dikatakan, perjanjian antara negara Lubnan dan Israel telah dilanjutkan sehingga 18 Februari.
Dilaporkan rakyat Palestin tidak menyokong cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk ‘membersihkan’ Gaza, yang melibatkan pengusiran paksa rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
Baca juga: