PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Program Nikmat Untuk Rakyat PETRA (NUR@PETRA) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM70 juta.
Program yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan dan dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang sebelum ini terhad kepada pengguna domestik.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu dijenamakan semula dan diperluaskan manfaatnya kepada sektor industri, komersial dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, program NUR@PETRA menawarkan tiga kategori e-rebat iaitu kategori pertama dikhaskan untuk pengguna domestik dengan tawaran e-rebat sehingga RM400 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Katanya, sebanyak 200,000 unit rebat disediakan berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’.
Fadillah menyatakan bahawa kategori kedua dikhaskan untuk PMKS dengan pemberian e-rebat sehingga RM4,000 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang.
Kata beliau, hampir 1,250 premis PMKS akan mendapat manfaat daripada program ini.
“Kategori ketiga menawarkan e-rebat khas untuk pembelian pendingin (chiller) cekap tenaga bagi kegunaan penyaman udara (comfort cooling) sahaja.
“Lebih 300 entiti perniagaan dijangka menerima manfaat ini dalam sektor industri dan komersial,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau lagi, permohonan e-rebat untuk Program NUR@PETRA bagi kategori pertama akan mula dibuka pada 31 Januari, kategori kedua mulai 15 Februari manakala permohonan rebat untuk kategori ketiga akan dibuka pada 1 Mac.
Jelasnya, pelaksanaan Program NUR@PETRA dijangka mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 3,910 Gigawatt jam bersamaan dengan RM2.23 bilion bagi tempoh 10 tahun, serta menyumbang kepada pengurangan sebanyak 3.0 juta tan karbon dioksida.
Maklumat lanjut mengenai kriteria, kelayakan, cara permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga di bawah Program NUR@PETRA boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi www.seda.gov.my/nur.