PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerima kunjungan 10 tetamu istimewa dari kontinjen polis Johor di pejabatnya di tingkat 31, Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kesemua pegawai dan anggota polis itu diundang sendiri oleh Razarudin untuk diraikan dalam satu majlis penghargaan, berikutan tindakan mereka menolak rasuah ketika menjalankan amanah melindungi rakyat dan negara pada pertengahan Januari lalu.
Beliau meluangkan masa hampir sejam menyantuni wira-wira PDRM dan menyampaikan sijil penghargaan khas KPN serta cenderamata kenangan.
Antara yang menerima anugerah tersebut adalah Inspektor Rosli Mohd Saad, Koperal Mohammad Hafizi Idris, Lans Koperal Shafrizal Jasi, Lans Koperal Mohd Saiden Abdul Lemin dan Lans Koperal Muhammad Syahir Safwan Abdul Jamil dari Markas Taktikal, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Mersing.
Menurut PDRM, mereka pernah disogok sejumlah wang pada 21 Januari lalu.
“Kejadian berlaku ketika mereka melakukan tangkapan dan rampasan pelbagai jenis mercun serta bunga api dalam Op Taring Landai Khas sempena cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina.
“Kisah tersebut mendapat liputan media massa sehingga menjadi sumber inspirasi pasukan polis,” kata PDRM dalam kenyataan pada Jumaat.
Turut menerima anugerah tersebut adalah Sarjan Roshazizat Idris, Koperal Azhar Omar, Koperal Muhammad Muizzuddin Roslan, Lans Koperal Mohd Safuan Kaderi dan Lans Koperal Muhammad Faiz Abdul Kadir dari Unit Rondaan Bermotosikal, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.
Dalam kejadian di Segamat, Johor pada 24 Januari lalu, mereka berjaya menolak wang sogokan ditawarkan suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau jenayah dan dadah sehingga mendapat perhatian daripada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias.
“Semoga dengan pemberian surat penghargaan tersebut akan menjadi motivasi dan pendorong semangat untuk seluruh warga pasukan agar terus mempamerkan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” kata PDRM.
Turut hadir pada majlis penghargaan itu adalah Ketua Polis Johor, Komisioner Polis Datuk M. Kumar S. Muthuvelu; Setiausaha Polis Malaysia, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC), Datuk Kamaruzaman Abdullah; Komander Pasukan Polis Marin (PPM), SAC Shamsol Kassim dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah.