PETALING JAYA: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) Ke-4 (CEAPAD IV) tahun ini.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, fokus utama adalah untuk mempercepatkan pembangunan semula Gaza dan Palestin.
Katanya, persidangan itu merupakan inisiatif penting yang akan menyatukan negara-negara di Asia Timur untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan membangunkan infrastruktur kritikal di Palestin.
“CEAPAD IV akan menumpukan pada program pembangunan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan menyeluruh dan pembangunan semula infrastruktur penting seperti sekolah, hospital dan masjid.
“Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Jepun dalam mengadakan mesyuarat penyelarasan sebelum persidangan ini serta menggalakkan komitmen dan sokongan dari peserta CEAPAD untuk memastikan kejayaan usaha pembangunan semula Gaza,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan Malaysia dan Jepun akan berunding dengan peserta CEAPAD untuk mendapatkan komitmen dan sokongan yang diperlukan.
“Malaysia akan terus bekerja sama dengan negara-negara seperti Jepun dan peserta CEAPAD lainnya untuk memastikan bantuan dan sumbangan kepada Palestin disalurkan dengan lebih cekap, tersusun, dan mampan untuk pembangunan jangka panjang,” kata Wisma Putra.
Pengumuman itu katanya, adalah bukti komitmen Malaysia untuk memainkan peranan utama dalam usaha pembangunan semula Palestin serta menunjukkan solidariti dan tanggungjawab moral terhadap masyarakat antarabangsa.