Tiada Perbincangan Jawatan Presiden, Timbalan Presiden Tidak Dipertanding – Dr Zaliha

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) 2025 Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Zaliha Mustafa berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai kemungkinan parti itu tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

“Tiada apa-apa perbincangan dengan saya selaku Pengerusi JPP2025 mahupun dengan Jawatankuasa Induk JPP2025,” katanya ringkas kepada Malaysia Bangkit.

Terdahulu, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, cadangan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu berdasarkan beberapa cadangan daripada proses rundingan dalaman sebelum ini.

Memetik laporan media tempatan, Shamsul berkata, langkah itu adalah untuk memastikan kestabilan dalaman parti dan melancarkan khidmat bakti kepada rakyat memandangkan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

“Apa pun tidak ada keputusan dalam parti yang menghalang, tetapi kita di peringkat pimpinan ini tentulah ada perbincangan kerana kita ada agenda yang lebih penting,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata bahawa parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat, dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat