Malaysia tegas tolak pindahan paksa rakyat Palestin

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Malaysia dengan tegas menolak sebarang cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka.

Malaysia menerusi Wisma Putra berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan itu merupakan pembersihan etnik yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin.

“Sebarang penyelesaian sebelah pihak yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri adalah tidak boleh diterima dan hanya akan memburukkan konflik yang telah berlarutan sekian lama,” menurut satu kenyataan Wisma Putra pada Khamis.

Tambahnya lagi, satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Katanya, pendekatan itu kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.

Dalam pada itu, Wisma Putra turut menggesa semua negara yang masih belum mengiktiraf negara Palestin agar segera berbuat demikian serta menyokong keanggotaan penuhnya dalam PBB.

“Seruan ini selari dengan Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024 yang menekankan keperluan penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keamanan di rantau itu,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra juga menyatakan sokongan terhadap usaha diplomatik dan inisiatif yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan The Hague Group dalam memastikan keamanan berkekalan melalui penubuhan negara Palestin.

Anda Mungkin Berminat