Indonesia mahu bina penjara khas buat perasuah di pulau terpencil, dikawal ikan jerung

Oleh: Tyah Helmi

JAKARTA : Dek kerana berang dengan sikap golongan perasuah di negaranya, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan rancangannya untuk membina sebuah penjara khas berkeselamatan tinggi buat mereka yang terlibat dengan rasuah di sebuah pulau terpencil.

Prabowo berkata, tindakan itu dibuat susulan meningkatnya kes rasuah yang berprofil tinggi sehingga membantutkan keadaan ekonomi serta beberapa kerjaya di negaranya.

“Saudara-saudari, golongan korupsi itulah yang membuatkan para guru, doktor-doktor dan jururawat-jururawat serta para petani berada di dalam kesusahan,” katanya, memetik portal berita Detik News.

Tegas beliau, usaha melawan perasuah khususnya melibatkan pegawai perlu dilaksanakan bersama-sama kerana Prabowo tidak mahu Indonesia menjadi zon selesa buat golongan berkenaan.

“Kita akan bersama-sama melawan pencuri-pencuri itu, dan kita akan menghalau mereka dari bumi Indonesia jika perlu,” ujar Prabowo.

Justeru, bagi memastikan golongan yang disifatkan pencuri itu tidak lari dari hukuman rasuah, Prabowo mendedahkan bahawa penjara tersebut bakal dibina di sebuah pulau yang terpencil, dilarang keluar pada waktu malam dan mereka akan menghadapi serangan ikan jerung jika mahu melarikan diri daripada penjara tersebut

“Saya bakal memperuntukkan dana, bina penjara yang sangat kukuh di suatu tempat yang terpencil, mereka tidak boleh keluar pada waktu malam.

“Ya kita akan cari pulau itu, kalau mereka mahu keluar, biarlah mereka berdepan dengan ikan jerung,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat