Selendang di bahu jadi trend raya tahun ini

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Fesyen klasik era 70-an kembali mencuri perhatian dengan sentuhan lebih moden bersama trend selendang di bahu kini menjadi pilihan utama untuk gaya Aidilfitri 2025.

Jika dulu selendang digayakan secara ringkas bersama kebaya dan baju kurung klasik, kini ia hadir dalam versi lebih moden dengan fabrik eksklusif dan corak mewah yang menyerlahkan gaya elegan.

Di media sosial, terutamanya TikTok, ramai pempengaruh fesyen seperti Sharifah Rose dan Sofea Shhra dilihat menggayakan selendang ini, menjadikannya semakin viral.

Ramai yang berkongsi cara pemakaian selendang di bahu untuk dipadankan dengan baju kurung moden, kebaya labuh, dan jubah satin, mencipta penampilan anggun.

Trend ini juga menarik perhatian kerana gayanya yang praktikal – tak perlu banyak lilitan, cukup disangkut di bahu dan terus nampak bergaya.

“Tak sangka gaya mak-mak kita dulu boleh nampak trendy balik! Simple je tapi classy gila,” kata salah seorang pengguna TikTok.

Ada yang memilih untuk pin di bahu atau biarkan terjuntai secara natural, mencipta efek klasik yang tidak lapuk ditelan zaman. Tak hairanlah ramai yang berpendapat fesyen ini memberi aura wanita bangsawan di pagi raya.

Di TikTok Shop dan platform e-dagang lain, selendang eksklusif dengan sulaman, lace, dan kain satin premium laris terjual, menunjukkan permintaan tinggi terhadap trend ini.

“Pakai selendang bahu ni terus rasa macam heroin drama tahun 70-an, anggun lain macam!” tulis seorang lagi pengguna di ruangan komen.

Ramai pengguna media sosial turut menganggap trend ini sebagai simbol ‘modesty in style’ kerana ia memberi ruang kepada pemakai untuk tampil lebih sopan tetapi tetap bergaya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat