ASEAN komited pertahan perdagangan bebas, kekal bersatu hadapi cabaran global – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN kekal tegas dalam menyokong sistem perdagangan bebas yang berasaskan peraturan, sebagai kunci kepada kestabilan dan kekuatan ekonomi rantau ini.

Menurut Anwar, komitmen ASEAN terhadap perdagangan bebas selaras dengan usaha mempertahankan keamanan serantau yang menjadi tunjang utama kemakmuran ekonomi negara-negara anggotanya.

“Pendirian ASEAN tidak pernah goyah. Kita konsisten menyokong perdagangan bebas yang berpaksikan kepada sistem berasaskan peraturan. Ini termasuk penglibatan aktif dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sejak dahulu lagi,”.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama penutupan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di ibu negara, hari ini.

Tambah beliau, kestabilan ekonomi ASEAN hanya dapat dikekalkan jika rantau ini terus aman, dan keamanan itu terhasil daripada hubungan baik dengan semua jiran serantau.

“Asas kita akan kekal kukuh sekiranya kita dapat menjamin keamanan di rantau ini. Dan keamanan itu hanya dapat dicapai jika kita mengamalkan sikap bersahabat dengan semua jiran.

“China adalah rakan strategik yang sangat penting, dan kita tidak boleh meminggirkannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut mengesahkan bahawa Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu hadapan – satu perkembangan yang disifatkannya sebagai peluang besar untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

“Ini merupakan satu cabaran besar, bukan sahaja bagi Malaysia, tetapi juga untuk ASEAN, untuk menunjukkan makna sebenar pemusatan ASEAN.

“Mengapa kita perlu berinteraksi dengan negara-negara jiran dan mengapa pendekatan kita yang lebih positif dan pragmatik dalam berurusan dengan semua pihak adalah penting, dengan harapan sebahagian besar isu dapat diselesaikan secara harmoni,” jelasnya.

Anwar turut memaklumkan bahawa para pemimpin ASEAN sehaluan dalam menyuarakan hasrat untuk mengekalkan kesatuan blok serantau itu, termasuk dalam berdepan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat