PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menekankan pentingnya merujuk hukum agama kepada pihak berautoriti seperti mufti dan institusi agama yang berwibawa.
Beliau mengingatkan agar pandangan hukum tidak dikeluarkan secara terburu-buru terutama berkaitan isu ibadah haji dan kewajipan mengundi.
“Hukum agama perlukan penelitian, kefahaman menyeluruh dan disiplin ilmu yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, haji adalah rukun Islam, manakala mengundi merupakan tanggungjawab dalam sistem demokrasi negara.
“Bertenang dan beri ruang kepada pihak Mufti untuk beri penjelasan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk mengutamakan adab dan ilmu dalam membincangkan hal agama, agar isu ini tidak menjadi polemik yang mencetus kekeliruan dan menggugat keharmonian masyarakat.
Kenyataan ini dibuat susulan kontroversi yang timbul daripada pandangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengutamakan politik berbanding ibadah haji.
Beberapa pihak termasuk ahli akademik dan tokoh agama telah menyelar kenyataan tersebut kerana dianggap boleh memesongkan kefahaman umat Islam.