Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bersempena dengan Sambutan Hari Guru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan rasa bahawa sambutan Hari Guru bukan sekadar meraikan pencapaian warga pendidik, sebaliknya mengiktiraf kecemerlangan serta sumbangan guru sebagai nadi utama dalam membentuk generasi masa hadapan negara.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya pada Sabtu, para pendidik di negara ini telah melakar pelbagai kejayaan selain menyumbang secara signifikan kepada pembangunan landskap pendidikan negara.
“Seorang guru yang cemerlang tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik muridnya, tetapi juga melalui keupayaannya membentuk insan yang beradab, berakhlak, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu dilakukan demi memastikan sistem pendidikan yang lebih inklusif dapat dinikmati anak-anak Malaysia.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata sambutan Hari Guru kali ini mungkin hanya meraikan sebilangan kecil pendidik, namun terdapat ratusan ribu guru di seluruh negara yang terus gigih mendidik dan membentuk generasi masa depan.
“Setiap guru adalah wira barisan hadapan pendidikan negara. Setiap usaha mereka membawa makna besar kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Baca juga:








