PETALING JAYA: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan MARA bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 22 Mei 2026.
Dalam kenyataan media pada Khamis, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa keputusan boleh disemak bermula pukul 12.00 tengah hari, 22 Mei hingga 5.00 petang, 31 Mei 2026 melalui beberapa platform atas talian termasuk portal rasmi https://upu.mohe.gov.my, aplikasi mudah alih UPU Pocket dan aplikasi MyGov di telefon pintar.
“Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 23 hingga 31 Mei 2026 di laman web UA, IPTA dan MARA BPT.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan UA, IPTA dan MARA BPT kepada yang berjaya mulai 23 Mei 2026 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya.
Menurut KPT, hanya pemohon yang tidak berjaya atau menerima tawaran pengajian peringkat sijil sahaja dibenarkan mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® dalam tempoh 10 hari, iaitu dari 22 Mei pukul 12.00 tengah hari hingga 31 Mei jam 5.00 petang.
Rayuan ke Kolej Komuniti (KK) pula boleh dikemukakan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline®.
KPT berkata, tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian UA, IPTA dan MARA BPT tidak dibenarkan.
Ujar KPT lagi, dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.








