KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat satu lagi kejayaan besar dalam usaha memulihkan aset berkaitan 1MDB apabila Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengumumkan pemulangan empat karya seni bernilai tinggi termasuk hasil maestro dunia Pablo Picasso dan Joan Miró.
Karya seni yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, menandakan pencapaian penting dalam kerjasama dua hala Malaysia–AS.
Menurut kenyataan Kedutaan AS, langkah itu adalah sebahagian daripada misi berterusan untuk mengembalikan aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB kepada rakyat Malaysia.
“Kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan undang-undang kedua-dua negara digambarkan sebagai bukti komitmen bersama dalam membanteras jenayah kewangan rentas sempadan.
“Kerjasama yang hebat antara penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat dan Malaysia! Amerika Syarikat akan terus menegakkan keadilan untuk mangsa 1MDB,” menurut hantaran di Facebook rasmi US Embassy Kuala Lumpur pada Khamis.
AS turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha Malaysia memulangkan semula aset yang dicuri kepada rakyat.
Setakat ini, hampir RM31.3 bilion iaitu lebih 70 peratus daripada aset yang dikenal pasti telah berjaya dipulihkan, menjadikannya antara pencapaian terbesar dalam sejarah pemulihan aset antarabangsa.








