TIDAK sampai seminggu berlangsung, konsert genKRU terus mencipta fenomena apabila penganjur mengumumkan penambahan malam keempat berikutan permintaan luar biasa daripada peminat.
Keputusan itu dibuat selepas tiket tiga malam pertama konsert yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil habis dijual dalam tempoh kurang satu jam, sekali gus menyebabkan ramai peminat meluahkan kekecewaan di media sosial kerana tidak sempat mendapatkan tiket.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, mereka tidak menjangka sambutan yang begitu hebat dan terharu melihat semangat peminat KRU yang masih membara selepas lebih tiga dekad kumpulan itu berkarya.

“Tiket malam pertama habis dalam masa satu jam, malam kedua pula hanya ambil masa 45 minit. Kami sangat terharu dan benar-benar speechless,” katanya dalam satu kenyataan.
Konsert malam keempat dijadual berlangsung pada 11 Mei ini. Kata Iman lagi, malam tambahan ini adalah ruang untuk peminat yang sebelum ini tidak berpeluang merasai pengalaman menyaksikan persembahan trio legenda itu secara langsung.
“Kami mahu semua yang benar-benar menanti peluang ini dapat turut serta dalam detik bersejarah ini bersama KRU,” tambahnya.
Penambahan malam konsert ini sekali gus mencatat rekod buat kumpulan KRU dalam sejarah penganjuran konsert tempatan, membuktikan bahawa muzik mereka masih mendapat tempat di hati peminat pelbagai generasi.
Tiket konsert malam keempat mula dijual pada 8 Mei, jam 1 petang menerusi laman rasmi Ticket2U.
Baca juga: