Oleh: Tyah Helmi
KUMPULAN legenda Spider bakal menggegarkan pentas Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025 dengan “Spider Unplugged Concert,” satu penganjuran unik yang menonjolkan kehebatan muzik tanah air.
Sejak memasuki dunia muzik pada tahun 1996, Spider yang dipandu oleh sang sifu Datuk M Nasir telah menghasilkan karya hebat seperti “Nazraku,” “Aladin,” “Relaku Pujuk,” “Kasih Latifah,” dan “Cinta Dewa Dewi.”
Kumpulan ini bukan sahaja mencipta nama dalam genre muzik rock dan ska tetapi juga menjadi rujukan inspirasi bagi banyak kugiran baharu.
Spider terus kekal relevan dan berbisa dengan pelbagai anugerah termasuk Juara Lagu 2004 untuk “Relaku Pujuk” dan Album Pop Rock Terbaik AIM 2005 menerusi “Nazraku.”
Lebih terkini, single “Keluar Sarang” yang dipasarkan pada tahun 2024 turut mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Melihat antusias peminat yang tidak pernah surut, penganjur Naga Legend Entertainment tampil membawa konsep konsert unplugged pertama bersama Spider.
“Menyebut sahaja nama Spider sudah membuatkan kami di Naga Legend Entertainment rasa teruja apa lagi apabila lamaran kami untuk mengadakan ‘Spider Unplugged Concert’ disambut baik oleh kumpulan legenda ini.
“Tentu sahaja hasilnya akan ‘mewah’, tersendiri serta menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan oleh peminat Spider,” kata Fandy Alias wakil dari Naga Legend Entertainment.
Spider terdiri daripada Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar), mereka tidak mahu sekadar “menggoreng muzik” tetapi komited untuk menghadirkan pengalaman konsert yang unik, berkualitidan penuh persiapan.
“Spider tidak mahu naik ke pentas, ‘goreng muzik’, menyanyi ala kadar dan pulang.
“Apa yang peminat dapatkan dengan persembahan seperti itu?
“Sebaliknya, Spider akan mendahulukan konsep, kualiti audio, teknikal serta kesiapan maksimum sebelum memberikan yang terbaik dan ‘kasi pecah panggung’,” jelas Tam.
Tiket konsert boleh dibeli mulai 25 April 2025 pukul 3 petang di www.ilassotickets.com atau spiderunplugged.
Harga tiket bermula RM198 hingga RM388.
Jangan lepaskan peluang kerana Spider telah membuktikan setiap konsert mereka sebelum ini yang ‘pecah teruk’.