KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah penerbangan terus antara Malaysia dan Arab Saudi dengan berbincang dengan Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu diambil ekoran kekurangan pilihan penerbangan yang mengurangkan aliran pelancongan korporat antara kedua-dua negara.
“Pada masa ini, hanya syarikat penerbangan Saudia yang mengendalikan penerbangan ke Malaysia, manakala kapasiti Malaysia Airlines banyak diperuntukkan untuk jemaah haji dan umrah. Saya akan berbincang dengan ketiga-tiga syarikat penerbangan ini untuk menambah penerbangan terus bagi memenuhi keperluan pasaran pelancongan,” katanya.
Tiong yang baru-baru ini mengadakan lawatan ke Arab Saudi, turut mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Al Ahram Travel and Tourism Company (ATTC), Adnan Omar Al-Abbas.
Dalam pertemuan itu, Adnan menyatakan minat untuk memperluas kerjasama perniagaan dengan Malaysia, termasuk mencadangkan penambahan penerbangan terus dari Arab Saudi ke Kuala Lumpur dan sambungan ke Singapura atau Australia.
“Saya juga menggalakkan ATTC untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan ini sebagai ejen mereka,” ujar Tiong.
Menurut beliau, ATTC turut aktif dalam pelancongan pendidikan, di mana syarikat itu menghantar pelajar Arab Saudi untuk mengikuti kursus bahasa Inggeris di luar negara. Malaysia dilihat sebagai pilihan lebih berpatutan berbanding negara lain.
Tiong juga menekankan komitmen MOTAC untuk memperkasa pelancongan perubatan, dengan menggalakkan kerjasama antara pengusaha hospitaliti tempatan dan ejen pelancongan Arab Saudi.
“Saya gembira apabila ATTC turut berkongsi visi ini dan berhasrat untuk terlibat dalam persidangan perubatan serta kerjasama dalam industri penjagaan kesihatan, sesuatu yang sangat kami alu-alukan,” tambah beliau.
Selain itu, MOTAC turut mencapai persetujuan dengan Panda Supermarket, salah satu rangkaian runcit terbesar di Timur Tengah, untuk mempromosikan pelancongan Malaysia di Arab Saudi.
“Ini juga sangat menggalakkan. Pada masa hadapan, saya menjangkakan pihak berkuasa Arab Saudi akan menghantar delegasi ke Malaysia bagi lawatan pengenalan yang akan membuka laluan untuk memperkukuh sokongan dan meningkatkan aliran pelancong dua hala,” katanya.
Baca juga: