MAIS Nafi Program Pemulihan GISBH Fokus Tajwid Semata-mata

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan bahawa program pemulihan terhadap bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hanya tertumpu kepada pengajian tajwid semata-mata.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, tuduhan yang tular di media sosial itu tidak berasas dan boleh mencetus kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan Program Insan Rabbani sejak 15 Februari lalu memberi tumpuan kepada aspek pemulihan akidah, selaras dengan fatwa Selangor yang mewartakan ajaran GISBH sebagai menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), membabitkan 24 sesi selama empat jam setiap hari Ahad di empat lokasi terpilih sehingga Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara lokasi terlibat ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah Shah Alam, SRA Sijangkang Kuala Langat dan SRA Sungai Kantan Kajang, dengan penyertaan 51 guru bertauliah.

Beliau menegaskan, modul pengisian yang digunakan merangkumi pengajian al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah berpandukan Modul Istitabah yang diluluskan MAIS sejak 2013.

“Pengajian al-Quran termasuk ilmu tajwid bertujuan menambah baik bacaan, manakala pengajian akidah menekankan asas pemahaman tentang sifat Allah dan Rasul. Pengajian tasawuf pula menyentuh penyucian hati dan sifat mahmudah, manakala fikah memberi fokus kepada solat dan amalan mengikut mazhab Imam Syafie,” jelasnya.

Selain itu, bagi kanak-kanak bekas ahli GISBH, MAIS turut melaksanakan program menggunakan Modul Pendidikan Insani JAIS melibatkan akidah, ibadah dan akhlak.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan tohmahan tidak berasas dan menasihati agar merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

Terdahulu, tular dakwaan kononnya program pemulihan MAIS terhadap bekas ahli GISBH hanya melibatkan kelas tajwid tanpa sebarang pengisian berkaitan pemulihan akidah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat