Warga Emas Maut Dilanggar Ketika Ubah Haluan

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta ketika menukar laluan di Kilometer 2 Jalan Johor Bahru–Air Hitam, menghala ke Skudai, tengah malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa berusia 67 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta jenis Lexus dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketika pemandu kereta sedang bergerak di lorong kanan daripada tiga lorong di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta gagal mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke cermin depan sebelah kiri kenderaan terbabit sebelum jatuh ke atas jalan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah.

Tambah Raub, hasil siasatan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu sah, manakala cukai jalan motosikal tersebut telah tamat sejak tahun 2019.

Ujian pernafasan terhadap pemandu kenderaan menunjukkan keputusan negatif bagi pengaruh alkohol.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik IPD Johor Bahru Selatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Nurulhadi Ali di talian 019-5230102 bagi membantu siasatan,” tambah Raub.

Anda Mungkin Berminat