Oleh: Aliya Azmi
JOHOR BAHRU: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim menegaskan sudah tiba masanya sayap pemuda parti keluar daripada stereotaip sempit yang hanya dilihat sebagai kumpulan demonstrasi atau penggerak aksi jalanan.
Sebaliknya, AMK kini menumpukan kepada pembinaan pemikiran dan pertembungan idea sebagai asas untuk melahirkan pemimpin yang lebih matang dan mampu menawarkan solusi kepada rakyat.
“Kita mahu lari daripada imej yang sering dikaitkan dengan pergerakan pemuda. Ia tidak terhad kepada aksi semata-mata, tapi juga melibatkan kedalaman pemikiran dan apa yang mahu ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rapat AMK 2025 di Berjaya Waterfront Hotel, di sini, hari ini.
Adam menegaskan, AMK sebagai sayap parti tidak boleh sekadar berani bersuara, sebaliknya perlu hadir dengan kefahaman mendalam dan naratif yang segar.
“Pemimpin harus bukan hanya berani, tetapi juga mampu untuk mencerna idea dan memberikan solusi kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau menyifatkan rapat kali ini sebagai medan penting untuk membina tradisi baharu dalam politik anak muda yang lebih substansial dan berwibawa.
Kongres sayap itu diadakan sehari sebelum Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 yang akan berlangsung esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Baca juga: