PAS Tak Berpendirian, Tukar Tema Himpunan – Pemuda PH

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda HARAPAN (AMH), Woo Kah Leong hari ini mengecam tindakan Dewan Pemuda PAS yang didakwa mengubah tema himpunan mereka daripada membantah ‘Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB)’ kepada seruan ‘Turun Anwar’.

Menurutnya, langkah itu mencerminkan bantahan tanpa arah yang membuktikan kegagalan Perikatan Nasional (PN) untuk tampil dengan pendirian yang kukuh mengenai dasar negara.

Dalam kenyataan media hari ini, Kah Leong berkata, perubahan tema himpunan jelas menunjukkan PAS dan PN hanya membantah tanpa memahami atau menetapkan pendirian yang jelas terhadap dasar awam.

“Ini bukan himpunan untuk rakyat. Ia adalah medan perebutan kuasa dalam PN sendiri.

“PAS dilihat cuba mengambil kesempatan untuk menonjolkan dominasi politiknya berbanding rakan sekutu, terutamanya BERSATU,” katanya.

Beliau turut menyindir Pemuda PAS yang sebelum ini lantang menentang PSB meskipun akta itu belum dibentangkan di Parlimen tetapi kini beralih kepada naratif menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PAS memilih jalan mudah—tukar fokus himpunan, cipta musuh baru dan alih perhatian daripada hakikat bahawa mereka gagal memberikan hujah konkrit menolak PSB yang sebenarnya bertujuan membela semua kaum,” ujarnya lagi.

Dalam nada lebih tegas, Kah Leong turut mempersoalkan pendirian PN yang sehingga kini masih tidak sepakat dalam menamakan calon Perdana Menteri.

“Mereka laung ‘Turun Anwar’, tapi siapa yang mahu naik? Adakah Hadi Awang, Muhyiddin atau Hamzah Zainudin?

“Sampai sekarang tiada keputusan rasmi. Ini bukti PN tidak bersedia mentadbir,” katanya.

Menurutnya, tindakan PAS menganjurkan himpunan ini dilihat sebagai usaha mengukuhkan pengaruhnya dalam PN memandangkan parti itu kini mendominasi jawatan Menteri Besar di negeri-negeri pembangkang serta memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam blok tersebut.

AMH turut menyelar langkah PAS sebagai sekadar ‘sandiwara politik’ yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

“Rakyat tidak perlukan taktik politik seperti ini. Himpunan yang tidak berpaksikan kebajikan rakyat hanyalah membuang masa dan mengelirukan orang ramai.

“PAS sepatutnya tampil dengan idea dan dasar, bukan slogan kosong,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Anda Mungkin Berminat