JOHOR BAHRU: Persaingan dalam politik bukanlah permusuhan, demikian tegas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki dalam Kongres Nasional PKR 2025 di Johor Bahru, hari ini.
Meskipun menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Ketua Cabang dalam pemilihan baru-baru ini, Afdlin menegaskan hubungan profesional dan sokongan terhadap Ahli Parlimen Setiawangsa itu tetap utuh.
“Saya ingin nyatakan secara terbuka kepada YB Nik Nazmi bahawa saya sentiasa bersedia membantu beliau.
“Ini bukan tentang siapa menang atau kalah, tetapi demi perjuangan bersama dalam Keadilan,” ujarnya disambut tepukan perwakilan.
Afdlin, yang dikenali sebagai pelawak dan pengarah filem, mengakui bahawa keterbukaan PKR kepada semua lapisan masyarakat membuktikan parti itu bukan hanya untuk ahli politik profesional.
“Jika saya sebagai pelawak boleh diberi ruang dalam parti, ini membuktikan PKR adalah rumah untuk rakyat pelbagai latar belakang, dari pemandu Grab hingga penggiat seni,” katanya.
Beliau berkata, reformasi bukan hanya soal polisi tetapi juga perubahan sikap dan budaya politik yang lebih matang.
“Dalam politik, tidak semuanya hitam dan putih. Kita perlu ada keberanian untuk berubah dan menerima perbezaan,” tambahnya.
Afdlin turut memuji sikap berjiwa besar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad, menganggapnya sebagai contoh kepimpinan yang mementingkan perpaduan.
“Jika Perdana Menteri boleh memaafkan bekas Perdana Menteri, kita semua boleh belajar untuk bersatu dan bergerak ke hadapan,” katanya.