PKR Perlu Henti Politik ‘Dikir Barat’ – Fadhlina

JOHOR BAHRU: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek menegaskan perlunya perubahan dalam budaya politik parti dengan mengakhiri pendekatan ‘dikir barat’ yang cenderung mengikuti tanpa pertimbangan kritis.

Beliau berkata, sikap itu melemahkan parti apabila pandangan berbeza diketepikan tanpa diberi ruang sewajarnya.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan politik ‘dikir barat’, di mana bila tukang karut berkata-kata, semua akan mengikut setiap bait tanpa soal.

“Budaya ini membantutkan pertumbuhan politik sihat dalam parti kerana menolak pemikiran baharu dan idea yang berbeza,” katanya dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Persada Johor, hari ini.

Menurutnya, landskap politik masa kini menuntut kematangan dan keberanian dalam menyuarakan pandangan secara berhemah.

Justeru, beliau menggesa agar PKR menolak budaya pemujaan individu dan membentuk ruang dialog yang lebih terbuka serta inklusif.

Selain itu, Fadhlina menekankan kepentingan kesatuan dalam hala tuju parti dari peringkat cabang hingga kepimpinan pusat bagi memastikan kestabilan gerak kerja politik.

“Kita mahu melihat perpaduan yang jelas di cabang, ranting dan keseluruhan kepimpinan parti,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sebenar PKR bukan hanya terletak pada barisan pemimpin utama tetapi juga pada keupayaan untuk menghormati kepelbagaian pandangan, mendengar suara akar umbi dan bergerak secara kolektif.

Anda Mungkin Berminat