Pemilihan PKR: Fokus rampas semula Indera Mahkota, pastikan PKR terus pimpin Putrajaya – Farhan Fauzi

PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, menyeru akar umbi untuk terus memberi tumpuan kepada hala tuju parti dalam memastikan PKR kekal memimpin Putrajaya pasca pemilihan parti.

Menurut Farhan Fauzi, demokrasi bukan sekadar soal menang atau kalah tetapi lebih kepada penyertaan akar umbi dan amanah bersama yang perlu dipikul demi kepentingan rakyat dan parti.

“Namun kita juga sedar, pemilihan ini hanyalah satu fasa.

“Peranan kita yang jauh lebih besar menanti iaitu memenangi semula kerusi Parlimen Indera Mahkota dan memastikan PKR terus memimpin di Putrajaya. Itulah medan sebenar kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Farhan Fauzi, yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Indera Mahkota di Pahang.

Mengulas mengenai kemenangan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota parti di cabangnya yang telah melaksanakan proses pemilihan dengan penuh tertib, telus dan bertanggungjawab.

“Sebagai Ketua Cabang, saya akan terus menggembeleng tenaga seluruh anggota termasuk mereka yang pernah bersaing kerana saya percaya, kita semua adalah satu pasukan.

“Setiap individu punya nilai dan kekuatan tersendiri untuk dimanfaatkan demi rakyat dan parti.

“Kita semua telah menunjukkan kematangan dalam berpolitik dengan menghormati prinsip demokrasi dan idealisme perjuangan PKR,” katanya.

Sementara itu, Farhan Fauzi turut menzahirkan rasa simpati atas keputusan yang tidak memihak kepada calon Timbalan Ketua Cabang, CK Chan, sambil menyifatkan beliau sebagai seorang pejuang parti yang komited dan tidak pernah lelah memperjuangkan suara rakyat.

“CK yang saya kenali adalah anggota dan pejuang yang tidak pernah kenal erti penat dalam mengangkat suara rakyat dan saya percaya sumbangannya akan terus relevan dan diperlukan dalam parti ini,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Zukri Akhsah atas kemenangan beliau sebagai Timbalan Ketua Cabang yang baharu, sambil menyifatkan pengalaman Zukri sebagai aset penting untuk memperkukuhkan lagi pasukan kepimpinan cabang tersebut.

Farhan Fauzi turut menyeru seluruh anggota untuk menyatukan tenaga dan bergerak sederap demi cita-cita reformasi, sambil menyifatkan proses pemilihan kali ini sebagai satu pembaharuan harapan buat rakyat.

Anda Mungkin Berminat