PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan langkah bersejarah dengan melancarkan sistem pilihan raya berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dinamakan TERAS.
Sistem itu dibangunkan khusus untuk memperkukuh jentera pilihan raya parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam kenyataan media, PKR berkata, penggunaan teknologi itu bukan sekadar simbol kemodenan tetapi satu strategi untuk memastikan operasi parti lebih tersusun, pantas dan berkesan.
“TERAS direka untuk mengintegrasikan data, memperkukuh daya tahan organisasi serta meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan strategik,” menurut kenyataan itu.
Sistem itu katanya, akan berfungsi sebagai pusat kawalan digital yang menyelaras maklumat, menganalisis corak sokongan dan membantu parti merangka strategi berdasarkan data sebenar.
PKR berkata, langkah itu selaras dengan komitmen parti terhadap reformasi politik dan kecekapan organisasi.
“Kami percaya bahawa dengan teknologi, PKR mampu bergerak lebih responsif dan bersedia menghadapi cabaran politik masa depan,” kata kenyataan itu.
Pelancaran TERAS dilihat sebagai satu titik perubahan dalam landskap politik Malaysia, di mana penggunaan AI kini mula menjadi sebahagian daripada strategi pilihan raya.
PKR berkata, sistem itu bukan sahaja akan memperkukuh jentera parti tetapi juga mencerminkan kesungguhan PKR untuk terus relevan dalam era digital.








