Malaysia Dinobat Destinasi Pelancongan Perubatan Nombor 1 Dunia

PETALING JAYA: Malaysia kini berada di kedudukan teratas sebagai destinasi pilihan utama dalam sektor pelancongan perubatan global.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan bahawa pengiktirafan itu meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara ternama seperti Singapura, India, dan Turkiye.

Menurutnya, kedudukan terkini itu dikeluarkan oleh firma global yang berpangkalan di Dubai, Nomad Capitalist.

“Pada tahun 2023 sahaja, sektor pelancongan perubatan Malaysia telah menjana lebih RM2 bilion hasil dengan kehadiran kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan dari rantau Asia dan seluruh dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, keyakinan dunia terhadap Malaysia berpunca daripada kehadiran pakar perubatan dan jururawat yang berkelayakan tinggi, di samping standard penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa.

Tambahnya, gabungan rawatan moden dengan layanan mesra atau lebih dikenali sebagai ‘Malaysian hospitality’ turut menjadi faktor utama kejayaan negara ini.

Dzulkefly turut berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha kolektif petugas kesihatan awam dan swasta, pelabur serta rakan strategik yang terus memperkukuh imej Malaysia sebagai hab kesihatan global.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) atas dedikasi dan kerja keras dalam memacu sektor ini ke tahap yang membanggakan,” ujarnya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk terus memperkasa penjagaan kesihatan primer, memacu transformasi digital dalam sistem perubatan, serta memastikan akses kesihatan yang saksama, mampan dan berdaya tahan bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat