AMK Masjid Tanah dukung penuh kemasukan Tengku Zafrul sertai PKR

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Masjid Tanah menyatakan dukungan penuh terhadap hasrat Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menerusi kenyataan media hari ini, sayap parti itu menyambut baik hasrat Tengku Zafrul dan menyifatkan penyertaan beliau itu memperkukuh imej PKR sebagai parti yang inklusif dan bersedia memimpin Malaysia ke arah masa depan yang progresif, adil dan berpaksikan kepakaran.

“Tindakan Tengku Zafrul bukanlah satu bentuk lompat parti. Beliau bukan wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya, sebaliknya memegang jawatan sebagai Senator dan Menteri.

“Beliau juga telah meletakkan semua jawatan dalam UMNO sebelum menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

“Ini jelas menunjukkan bahawa penyertaan beliau dilakukan dengan menghormati etika politik yang sihat,” katanya.

Kata mereka, Tengku Zafrul membuktikan kemampuan beliau dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara ketika mana beliau menjawat sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Beliau berperanan membawa Malaysia berjaya menarik pelaburan asing yang tinggi, memperkukuh perdagangan antarabangsa, dan memperkenalkan pelbagai dasar baharu untuk menggalakkan inovasi, perindustrian hijau, serta pelaburan strategik jangka panjang,” ujarnya.

Justeru kejayaan-kejayaan itu dilihat memberi impak besar kepada daya saing ekonomi serta peluang pekerjaan untuk rakyat.

Dengan itu katanya, AMK Masjid Tanah menyokong sepenuhnya keterbukaan partinya dalam menerima tokoh profesional yang berwibawa, selari dengan aspirasi parti untuk memimpin Malaysia dengan dasar-dasar yang berteraskan idea, kepakaran dan membawa kemajuan kepada negara.

“Kami menyeru semua pihak melihat penyertaan ini sebagai langkah membina, dan bukannya bersifat partisan,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat